Justeru Impian Di Jaring

Justeru Impian Di Jaring (Zaid Akhtar)

Novel Justeru Impian di Jaring mengisahkan perjalanan hidup seorang pemain badminton skuad kebangsaan bernama Syahir. Dia merupakan pemain yang bercita-cita tinggi dan dapat mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. 

Sipnosis

Accordion Content

Novel Justeru Impian di Jaring mengisahkan perjalanan hidup seorang pemain badminton skuad kebangsaan bernama Syahir. Dia merupakan pemain yang bercita-cita tinggi dan dapat mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Namun, dia menghadapi rintangan untuk merealisasikan matlamatnya itu apabila pihak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) telah membuat keputusan mengejut, iaitu semua pemain perlu menyertai Kejohanan Terbuka Johor sebelum layak mewakili negara ke Jakarta. Hal ini bertentangan dengan peraturan sedia ada sebelum ini, iaitu pemain yang mewakili negara akan ditentukan berdasarkan ranking dunia. Oleh itu, para pemain akan bersaing sesama sendiri bagi melayakkan diri ke Jakarta nanti. Keputusan pihak PBSM ini bertentangan dengan kenyataan Engku Aiman dalam laporan akhbar perdana pada minggu lepas. Beliau tidak mahu peristiwa di Birmingham dan di Tokyo berulang sekali lagi.

Haji Marzuki dan Mas Suparman adalah antara jurulatih yang banyak terlibat dalam melatih para pemain skuad kebangsaan. Haji Marzuki banyak memahami masalah yang terpaksa dihadapi oleh Syahir. Jurulatih ini telah banyak memberikan kata-kata perangsang kepada Syahir agar dia terus bersemangat untuk berlatih dan berjaya mewakili negara. Walaupun Haji Marzuki tidak bersetuju dengan keputusan pihak PBSM yang mengamalkan sikap pilih kasih, tetapi dia masih yakin para pemainnya seperti Syahir, Bernard, Gopinath, Kam Heng, dan Wan Najlan dapat menerima hakikat tersebut dengan tenang, rasional, dan tidak mengambil keputusan yang terburu-buru.

Syed Amiri merupakan rakan Syahir dalam skuad kebangsaan yang sering menyindir Syahir dengan gelaran ‘ustaz selebriti’. Panggilan itu kurang disenangi oleh Syahir tetapi dia tetap tabah menerima hakikat tersebut. Pada masa yang sama, Syed Amiri sering memandang rendah terhadap keupayaan Syahir untuk melayakkan diri ke Jakarta. Mujurlah Haji Marzuki selalu menenangkan Syahir agar sentiasa berpandangan positif kerana dia yakin Syahir memiliki kelebihan yang jarang-jarang dimiliki oleh pemain lain.

Tindakan Engku Aiman mengungkit kekalahannya kepada pemain China suatu masa dahulu di hadapan teman-teman selatihan dan pengurus pasukan negara, Dr. Asyraf terang terangan menzahirkan sikapnya yang sebenar terhadap Syahir. Engku Aiman kerap memuji Syed Amiri yang disifatkan paling meningkat kebelakangan itu berbanding dengan pemain-pemain lain. Semasa pulang ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, Syahir sempat menemani emaknya ke pasar malam untuk membeli juadah berbuka puasa. Pada malam itu, keadaan menjadi cemas apabila Syahir mendapati emaknya terbaring lemah dalam keadaan masih bertelekung di atas katil.

Pemergian Syahir ke Johor penuh dengan cabaran. Dia sentiasa terfikir akan kesihatan emaknya, namun mujur ada Kak Uda yang memberikan jaminan bahawa emaknya cuma lemah sedikit dan tidak perlu dirisaukan. Haji Marzuki pula tidak dapat bersama-sama pergi ke Johor kerana belum pulih daripada demam selesema. Pada masa itu juga Syahir telah dikejutkan dengan tersiarnya gambar dia bersama-sama dengan Ratna yang dikatakan ada hubungan istimewa dengannya. Syahir terkejut kerana pada masa itu, mereka bergambar beramai-ramai dan bukannya berdua.

Pada peringkat suku akhir, Syahir telah bertemu dengan Syed Amiri. Pada masa itu, dia mendapat tentangan yang cukup hebat daripada Syed Amiri di samping sorakan penyokong Syed Amiri yang hebat kerana Syed Amiri ialah pemain dari negeri itu. Dalam perlawanan itu, beberapa keputusan pengadil perlawanan lebih berpihak kepada Syed Amiri menyebabkan Syahir berasa tertekan dan tidak boleh mengawal permainannya. Akhirnya, Syahir tewas di tangan Syed Amiri dan dia gagal mewakili negara ke Jakarta.

Syahir dibenarkan pulang ke rumah. Emaknya meminta dia menemaninya untuk pergi ke rumah Mak Usu Sapiah di Seremban. Semasa di Seremban, Haji Marzuki menelefon Syahir lalu mengatakan bahawa Gopinath terlibat dalam kemalangan dan mengarahkan Syahir segera kembali ke kem latihan. Syahir dipilih untuk menggantikan Gopinath untuk bersaing di Jakarta. Syed Amiri menyindir Syahir dengan mengatakan bahawa Syahir perlu sujud syukur kerana dapat mewakili negara.

Sebelum pergi ke Jakarta, sekali lagi Syahir berhadapan dengan dugaan apabila, dia telah menerima berita tentang emaknya yang terlantar di hospital kerana menghidap strok. Hatinya berbelah bahagi sama ada hendak meneruskan hasrat ke Jakarta ataupun menjaga emaknya yang sakit. Pada masa yang sama, sakit pada bahagian perutnya semakin kerap terasa. Syahir melakukan solat hajat dan solat istikharah agar diberi petunjuk dalam membuat keputusan pada detik-detik getir itu. Kak Uda memberitahu bahawa emaknya sudah beransur pulih dan menasihatinya agar pergi ke Jakarta. Sebelum berangkat, Syahir sempat singgah di hospital untuk menjenguk emaknya.

Di Jakarta, Syahir dapat mengharungi cabaran pada peringkat awal apabila berjaya mengalahkan pemain dari Korea Selatan, iaitu Kim Joo Hyun. Seterusnya, dia menewaskan pemain muda dari China, Xiang Yimou. Menjelang tengah hari semua pemain diwajibkan menjalani ujian air kencing yang diadakan secara tiba-tiba. Pada peringkat ketiga, Syahir juga berjaya menundukkan Eddy Heryanto, pilihan ketiga belas yang juga pemain tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya mara ke peringkat akhir setelah berjaya menumpaskan pemain dari China. Syed Amiri yang dicanangkan sebagai juara itu telah kecundang pada peringkat separuh akhir.

Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba apabila Syahir berjaya melangkah ke peringkat akhir dan dijadualkan bertemu dengan pemain tuan rumah, iaitu Andri Mirnawan. Haji Marzuki dan Mas Suparman mempunyai perancangan tersendiri kerana mengakui memang sukar untuk menumpaskan pemain tuan rumah tersebut. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan Andri Mirnawan.

Semasa majlis penyampaian hadiah, Syahir hampir rebah lalu dikejarkan ke hospital. Dia telah disahkan menghidap radang apendiks dan dibedah di sana. Setelah pulang ke Malaysia, Syahir ke hospital untuk menemui emaknya. Kini, dia telah bergelar juara dunia dan berazam untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik.

Dipetik dari Pokok Hijau 2

Sesi latihan masih berbaki 15 minit, namun kompleks sukan semakin lengang. Syahir baru sahaja menghabiskan sesi wawancara bersama seorang wartawan bernama Azmie. Sejak mengenali Azmie hubungan mereka menjadi akrab. Selepas menghantar Azmie ke kereta Syahir segera menyertai rakan-rakannya yang lain untuk mendengar taklimat daripada Engku Aiman (lingkungan 40-an). Dalam taklimatnya, Engku Aiman (ketua jurulatih) mengingatkan anak buahnya agar tidak mencampuradukkan hal peribadi ataupun publisiti semasa sesi latihan. Syahir terkesan dengan kata-kata tersebut.

Boon Lee bertanyakan sebab kelewatan Syahir dalam taklimat tersebut. Boon Lee memberitahu mereka perlu menyertai Terbuka Johor dan aspek pemilihan berdasarkan prestasi semasa dan bukannya ranking dunia. Wan Najhan mengiyakan kata-kata Boon Lee. Syahir merasakan perjalanannya masih banyak halangan. Syahir sempat meminta maaf kepada Engku Aiman atas kelewatannya dalam sesi taklimat pada petang itu. Namun Syahir menerima sindiran daripada Engku Aiman dan Syed Amiri.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Syahir (anak bongsu) terleka ketika makan sambil menonton televisyen bersama emak dan Kak Uda Syahrizah (pegawai perubatan UKM). Syahir jarang-jarang dapat menikmati masakan ibunya kerana tinggal menyewa bersama Wan Najhan dan Nik Shahnizam berhampiran kompleks sukan. Kak Udanya antara insan yang paling rapat dalam keluarganya dan menyokong kariernya. Namun Kak Ngah Syamilah (akauntan di Johor) tidak menyokong penglibatannnya dalam sukan tersebut. Syahir perlu memenangi Terbuka Johor jika ingin ke perlawanan (Kejohanan Badminton Antarabangsa) di Jakarta. Emaknya risau Syahir menangguhkan pengajiannya di UPM Serdang hampir setahun dalam pengajian di Jabatan Sukan UPM. Syahir memohon doa kakaknya dan emaknya agar impiannya untuk mengharumkan nama negara. Syahir tidak melupakan amanat arwah bapanya menjadi anak yang berijazah dan berilmu serta memelihara syariat Islam dalam bersukan. Ayahnya pernah menentang penglibatannya dalam bidang sukan semasa di sekolah menengah. Namun kejayaannya dalam akademik dan sukan telah memadamkan api kemarahan ayahnya. Arwah ayahnya meninggal dunia kerana barah prostat. Abang Long Syakir (pensyarah doktor falsafah) dan Abang Alang Syazali (tahun akhir Kulliyyah Syariah Universiti Mu’tah Jordan) banyak mengikut jejak langkah ayahnya (ustaz) dalam bidang agama. Cikgu Kamaludin yang mengasah bakat Syahir semasa di sekolah menengah. Walaupun cemerlang dalam bidang akademik, Syahir pernah menolak tawaran ke sekolah berasrama penuh semata-mata kerana minatnya dalam sukan badminton.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Syahir menghampiri Haji Marzuki (jurulatih & bekas jaguh kebangsaan) yang sedang memantau latihan Bernard. Keputusan mengejut Kelab Badminton Malaysia sering mengganggu fikirannya. Haji Marzuki seakan mengerti isi hati Syahir. Beliau menasihati agar Syahir bersabar dan menganggap mungkin ada hikmahnya. Mengikut ranking rasmi badan dunia, Syahir, Bernard dan Kam Heng layak ke Jakarta. Namun perubahan drastik membenarkan negara memilih empat pemain terbaik sahaja menjadikan peluangnya samar-samar. Para pemain perlu bermain bermati-matian menentang sesama sendiri  untuk melayakkan mendapat tempat dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

Sebelum pulang Syahir dan Wan Najhan singgah makan tengah hari di Restoran 48 Jam. Mereka bertemu dengan Wan Najlah (adik Wan Najhan). Wan Najlah sering mengusik jika berada di sisi abangnya. Wan Najlah mengusik Syahir dengan meminta autograf Syahir kerana profil Syahir diterbitkan dalam Mingguan Riadah.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Syahir bersantai di ruang tamu rumah sewanya. Wan Najhan dan Nik Shahnizam masih belum pulang kerana janji temu seusai latihan. Syahir sayu dan simpati menonton paparan berita uamat Islam yang ditindas di Palestin. Kemudian Syahir membaca artikel Mingguan Riadah tentang dirinya. Dalam wawancara tersebut Syahir diajukan beberapa soalan tentang penampilannya sewaktu bersukan. Syahir pernah dituduh mencari publisiti kerana penampilannya yang menutup aurat dalam bersukan sejak di tingkatan 4. Latar belakang keluarganya mempengaruhi penampilannya dan dia tidak berniat mencetuskan kontroversiti. Pada mulunya dia mendapat kritikan namun lama kelamaan banyak pihak yang semakin mengerti tindakannya. Syahir teringat kembali pertemuaanya dengan Wan Najlah yang tiba-tiba menyepi tanpa sebab. Syahir berasa bersalah jika kata-katanya mengguris hati Wan Najlah.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Syed Amiri memuji Syahir sebagai selebriti kerana artikel tentang dirinya dalam akhbar sukan tabloid itu tetapi Syahir kurang senang dengan gelaran tersebut. Kam Heng turut memuji Syahir. Syed Amiri ditinggalkan bersama Syahir. Syed Amiri mempersoalkan sama ada mereka layak ke kejohanan  Antarabangsa tersebut. Mereka memulakan latihan dengan aktiviti memanaskan badan. Aktiviti diteruskan dengan latihan di bawah latihan jurulatih masing-masing. Bernard dan Syahir di bawah bimbingan Haji Marzuki. Haji Marzuki sempat memberitahu bahawa Syahir akan bertemu dengan Syed Amiri dalam kejohanan Terbuka Johor. Syahir kelihatan bimbang namun Haji Marzuki sering memberi motivasi kepadanya. Syed Amiri tidak asing lagi dengan Syahir kerana mereka telah bertemu dalam 14 kali perlawanan dan Syahir pernah memenangi 8 daripada 14 pertemuan tersebut. Syahir telah mengenali Syed Amiri sejak awal remaja lagi. Syed Amiri setahun lebih tua daripadanya dan berasal dari Johor. Syahir pernah dibesarkan oleh datuknya di Segamat. Kemudian ibu bapanya mengambilnya dan Syahir dihantar ke sekolah berasrama di Selangor dan Syed Amiri adalah seniornya. Mereka dilatih di bawah bimbingan Cikgu Kamaludin sehingga diserap dalam skuad kebangsaan. Sejak dahulu lagi Syed Amiri tidak menyenanginya dan sering mengambil peluang menyakiti hatinya. Tetapi Syahir tetap bertahan kerana prinsipnya sukan wasilah memupuk semangat ukhwah.

Haji Marzuki sedar akan kelebihan anak buahnya. Syahir mahir dalam pukulan pancungnya namun harus diperbaiki lagi. Syahir dan Bernard tersenarai dalam senarai 15 pemain terbaik dunia sepanjang 15 bulan mereka mendapat latihan Haji Marzuki.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Syahir mendapat panggilan daripada Wan Najlah. Namun kekangan masa latihan membataskan Syahir membalas panggilan Wan Najlah. Selepas tamat latihan, Syahir dan teman serumahnya pulang ke rumah sewa mereka (11 malam). Selepas membersihkan diri dan bersolat Syahir menonton Buletin Dunia. Pada ketika itu Wan Najlah menghubunginya lagi. Syahir bertanyakan sekiranya Wan Najlah mempunyai masalah. Wan Najlah memohon maaf kerana bersikap emosional tempoh hari. Wan Najlah terkesan dengan kata-kata Syahir tempoh hari tetapi mengakui kebenaran kata-kata Syahir. Wan Najlah memuji kehebatan Syahir mempertahankan prinsipnya dalam berpakaian semasa bersukan. Wan Najlah menyatakan keinginannya bertudung namun gusar dengan pandangan orang lain. Namun Syahir memberi dorongan dengan memberikan contoh Ruqaya al-Ghasara dalam sukan olahraga 200 meter yang berasal dari Bahrain.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Tengah hari itu, Syahir Ramzi bertemu dengan Azmie (2 tahun lebih tua daripada Syahir). Mereka mula mengenali semasa Kejohanan Terbuka Kelantan setahun yang lalu. Ketika berda di pejabat Azmie, Wan Najhan menghubunginya dan memberitahu bahawa adiknya Wan Najlah sudah bertudung dan menutup aurat ketika sesi latihan. Perkara ini mengejutkan semua warga kompleks sukan tersebut. Wan Najhan menuduh Syahir mempengaruhi adiknya. Namun Syahir menafikan dan menganggap itu adalah hidayah dari-Nya.
Beberapa pelajar UITM meminta Syahir bergambar bersama mereka dan Ratna (Juara Akademik Impiana). Syahir seboleh-bolehnya mengelak untuk bergambar berdua-duaan.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Sejak dua hari ini Engku Aiman sering mengkritik cara permainannya dengan kata-kata yang menyakitkan hatinya. Namun Syahir masih dapat bersabar. Rakan-rakannya juga menyedari sikap Engku Aiman terhadap Syahir. Engku Aiman sengaja memalukan dan melemahkan dirinya di hadapan Dr Asyraf (pengurus pasukan negara) dan semasa ketiadaan Haji Marzuki (uzur demam selesema). Engku Aiman sering memuji Syed Amiri menyebabkan hatinya bertambah sakit.

Syahir pulang ke rumah emaknya (Bandar Baru Bangi) untuk meluangkan masa bersama keluarga sebelum dia berangkat ke Johor Bahru. Seusai mendengar kuliah Ustaz Itqan Fathi, Syahir dan ibunya pergi ke pasar malam. Pada malam itu (10 malam) Syahir mendapati ibunya terlentang di atas katil dalam keadaan bertelekung. Hati Syahir bimbang kerana tubuh ibunya panas.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Perjalanannya ke Johor Bahru tengah hari itu diselubungi kebimbangan terhadap ibunya yang uzur. Kak Uda meyakinkannya ibunya akan sembuh. Ibunya turut merestui pemergiannya. Haji Marzuki juga tidak dapat bersamanya kerana belum sembuh. Kejohanan Terbuka Johor (Dewan Badminton Tanjung Puteri Utama) bermula selepas solat Jumaat. Syahir berjaya menewaskan pihak lawannya. Syahir dan rakannya terkejut dengan prestasi baik Syed Amiri. Syed Amiri turut mendapat sokongan penonton kerana Syed Amiri berasal dari Johor.

Syahir bangga dengan perubahan Wan Najlah ketika kejohanan tersebut. Dr Asyraf memanggilnya ketika Syahir ingin pulang ke hotel. Dr Asyraf menasihati supaya Syahir fokus kepada kariernya dan tidak mencari publisiti murahan sambil menunjukkan gambarnya bersama Ratna. Syahir terkejut kerana gambar tersebut telah diedit seseorang dan dimasukkan di dalam akhbar.

Dipetik dari Kasih Sejati 2

Syahir menentang Syed Amiri, namun konsentrasinya terganggu dengan gosip liar dan keputusan berat sebelah semasa pertandingan. Walaupun Syahir cuba membantah tetapi pengadil pertandingan tetap dengan keputusannya yang berat sebelah. Kekecewaannya menjadikan permainannya bertambah hambar dan Syed Amiri akhirnya berjaya menewaskan Syahir. Oleh itu, Syed Amiri layak ke Jakarta manakala Syahir sebaliknya.

Dipetik dari Tunas Wira

Semua pemain utama skuad kebangsaan layak ke Jakarta kecuali Syahir. Hal ini menjadikannya tidak selesa ketika menjalani latihan biasa di kompleks sukan tersebut. Walaupun sahabatnya memberi kata perangsang namun kekecewaan hatinya masih menebal dalam jiwanya. Kata-kata Syed Amiri sejurus  memenangi kejohanan tersebut manambah sakit hatinya. Haji Marzuki berharap Syahir tidak patah semangat kerana kekalahan tersebut dan meminta Syahir bercuti untuk menenangkan fikiran.

Selepas latihan petang itu, Syahir terus pulang ke rumah emaknya dan pergi ke rumah Mak Usu (Seremban) bersama emak dan Kak Uda. Ketika berada di rumah Mak Usu Syahir menerima panggilan Haji Marzuki yang memberitahu rakannya, Gopinath terlibat dalam kemalangan.

Dipetik dari Tunas Wira

Rancangannya untuk bersama keluarga Mak Usu ke selatan terpaksa dibatalkan kerana terpaksa pulang ke Kuala Lumpur setelah diarahkan oleh Haji Marzuki. Hanya Kak Uda dan emaknya sahaja yang pergi bersama Mak Usu menziarahi pusara datuk dan opahnya di Segamat. Mujur keluarganya memahami situasi yang dihadapinya.

Walaupun kehairanan kerana diminta pulang dan menjalani latihan seperti biasa, namun Syahir menurut kata jurulatihnya itu. Haji Marzuki akhirnya memberitahu bahawa dia berkeras dengan pihak atasan untuk menggantikan Gopinath dengan Syahir untuk kejohanan di Jakarta. Syahir bersyukur kerana masih berpeluang ke Jakarta.

Prestasi Syed Amiri semakin mendapat perhatian pihak media. Manakala Syahir sering mendapat kutukan Engku Aiman kerana kekalahan mereka tahun lalu. Namun Syahir cuba menjauhkan perasaan amarahnya supaya dia dapat memberi tumpuan untuk kejohanan pada tahun ini.

Dipetik dari Tunas Wira

Hatinya cemas kerana mengetahui undian pencabar lawannya di Jakarta. Namun Haji Marzuki seolah-olah dapat membaca hatinya dan terus memberikan semangat dan nasihat kepadanya. Syahir mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi lawannya mengikut rentak permainannya. Namun Syahir mempunyai kelemahan kerana bermain mengikut mood dan sukar mengawal emosi. Syahir juga bertemu Dr Haikal (kaunselor untuk meningkatkan psikologi pemain) namun nasihat yang diterimanya tidak sehebat nasihat Haji Marzuki. Pada 10.15 malam itu, Syahir menerima panggilan daripada Kak Uda yang memberitahu emaknya pitam di rumah abang Long.

Dipetik dari Tunas Wira

Syahir menerima banyak cabaran sebelum ke Jakarta. Emaknya terlantar di Hospital Universiti dan Syahir mendapat tentangan abang Long dan Kak Ngahnya untuk membenarkannya ke Jakarta. Selepas solat Istikharah Syahir menghubungi Kak Uda dan Kak Uda memaklumkan emaknya bertambah stabil. Kak Uda turut menasihati Syahir supaya meneruskan niatnya ke Jakarta demi negara. Syahir menyiapkan pakaian untuk seminggu berada di Jakarta. Sebelum berangkat Syahir, Wan  Najhan dan Nik Shahnizam singgah ke hospital untuk mendapatkan restu emaknya. Walaupun emaknya tidak mampu berkata-kata namun Syahir seakan-akan mengerti restu emaknya untuk berjuang demi negara.

Dipetik dari Tunas Wira

Walaupun sudah kali keempat bertanding di Indonesia tetapi perasaan gemuruh masih terbit dalam dirinya. Dalam masa yang sama ingatan terhadap emaknya yang menghidap penyakit angin akmar tidak hilang daripada ingatannya. Sehari sebelum kejohanan bermula para pemain dibenarkan berlatih di Istora Senayan (Gelora Bung Karno). Syahir diletakkan sebagai pilihan ke-12. Syahir berjaya menentang lawannya dalam setiap perlawanan bertemu Korea Selatan, China dan Indonesia. Akhirnya dia, Kam Heng, Syed Amiri dan pasangan beregu Wan Najhan-Boon Lee berjaya ke suku akhir. Semasa di Jakarta Syahir tidak lupa bertanyakan khabar emaknya dan Syahir berdoa kepada Tuhan agar diberikan kekuatan fizikal, mental, iman dan kesembuhan emaknya.

Dipetik dari Tunas Wira

Setelah lima hari berlalu, Syahir berjaya ke peringkat penentuan juara lelaki perseorangan. Syed Amiri yang dicanang sebagai juara akhirnya tewas di peringkat separuh akhir. Laluan Syahir bertambah mudah setelah menang menentang pemain dari China, lawan seterusnya cedera selepas 5 minit perlawanan  dan menarik diri. Akhirnya Syahir bakal bertemu lawan dari Indonesia, Andri Minarwan (26 tahun). Khabar emaknya bertambah sihat melegakan hati Syahir. Wan Najlah turut memberikan kata-kata semangat kepadanya. Kata-kata temannya itu melekat dalam ingatannya.

Haji Marzuki tiba-tiba memanggilnya ketika pegawai lain menyaksikan perlawanan akhir kategori wanita. Haji Marzuki ingin memberitahu sesuatu perkara sebelum Syahir menentang Andri Minarwan. Haji Marzuki memaklumkan bahawa dia berjanji akan meletak jawatan sekiranya Syahir gagal menjadi juara pada malam itu. Syahir terharu dengan kepercayaan dan keyakinan jurulatihnya terhadap dirinya itu.

Dipetik dari Tunas Wira

8.20 malam, perlawanan bermula. Mulutnya tidak henti-henti berzikir untuk mengurangkan rasa gemuruh. Andri memulakan servis pertama. Pemain tangan kanan ini bijak mengawal gelanggang dan mendahului mata perlawanan. Namun Syahir menukar corak permainannya dan berjaya memenangi set pertama. Set kedua berlalu namun berlaku ketidakadilan pengadil gelanggang. Dalam masa yang sama Syahir mengalami sakit di bahagian abdomennya. Syahir tetap meneruskan perlawanan. Dia sering mengingati nasihat jurulatihnya supaya bersabar dan tidak mengikut emosi seperti yang berlaku di Johor Bahru. Akhirnya Syahir berjaya menentang pemain Indonesia itu dan dinobatkan sebagai juara kategori lelaki. Semasa sesi penyampaian pingat Syahir tidak dapat menahan kesakitannya dan rebah di atas podium tersebut.

Dipetik dari Tunas Wira

Syahir terpaksa menjalani pembedahan Apendisitis dan terlantar di hospital Jakarta bebeapa hari. Selepas itu, dia pulang ke Malaysia. Syahir bersyukur kerana diberi nikmat untuk hidup lagi. Ketika tiba di hospital Universiti, keluarganya telah menunggunya. Syahir terus memeluk emaknya dan memberikan pingat kemenangan kepada emaknya. Abang Long menyatakan rasa bangganya kepada adik bongsunya itu. Syahir berharap selepas ini dia berjaya ke Sukan Olimpik pula.

Dipetik dari Tunas Wira

Tema

Accordion Content

Ketabahan seorang pemain badminton dalam menghadapi dugaan dan rintangan sebelum bergelar juara dunia.

Syahir tabah menerima pandangan negatif daripada orang sekeliling kerana tindakannya menutup aurat semasa bermain badminton. Hal ini demikian kerana, dia masih berpegang pada syariat Islam dan pesanan arwah ayahnya. Sementara itu, Engku Aiman dan Syed Amiri yang sememangnya tidak menyukai Syahir sering mencemuh dan mengejeknya untuk melemahkan semangatnya. Kekalahan Syahir di tangan Syed Amiri semasa kejohanan Terbuka Johor juga membuktikan bahawa dia seorang yang tabah apabila dia meneruskan latihan seperti biasa walaupun menyedari dirinya tidak layak menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Semasa mahu berangkat ke Jakarta, Syahir diuji pula dengan berita emaknya yang menghidap strok hingga menyebabkan dia berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan impian ke Jakarta ataupun menjaga emaknya yang sedang sakit. Syahir juga terpaksa berhadapan dengan sikap berat sebelah pihak pengadil semasa bertanding pada peringkat akhir di Jakarta. Namun, akhirnya  Syahir berjaya bergelar juara dalam kejohanan tersebut.

Dipetik dari Minda Subur

Perjuangan dalam bidang kesukanan yang menuntut pengorbanan yang besar.

Buktinya, Syahir pemain nombor 15 dalam ranking dunia terpaksa melakukan pengorbanan yang besar demi merealisasikan hasratnya untuk bergelar juara dunia dalam sukan badminton. Syahir terpaksa berangkat ke Jakarta untuk bertanding dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa meskipun pada masa yang sama emaknya sedang terlantar di hospital. Keputusannya itu menyebabkan Kak Ngah Syahir menuduhnya sebagai anak yang mementingkan diri sendiri.

Selain itu, Syahir juga terpaksa menangguhkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) demi mencapai cita-citanya itu. Berkat pengorbanannya itu, perjuangan Syahir untuk bergelar juara dunia dalam sukan badminton menjadi kenyataan.

Dipetik dari Taman Sinar

Persoalan

Accordion Content

Ketaatan pada perintah Tuhan

Syahir sangat menjaga solat semasa latihan mahupun pertandingan. Dia juga akan berpakaian menutup aurat semasa bermain badminton.

Dipetik dari Taman Sinar

Ketabahan menghadapi dugaan

Syahir tabah menghadapi pelbagai dugaan dalam usahanya bergelar juara dunia dalam permainan badminton.

Dipetik dari Taman Sinar

Sukan sebagai elemen perpaduan

Syahir mengaku bahawa sukan merupan alat yang dapat menyuntik elemen perpaduan dalam masyarakat.

Dipetik dari Taman Sinar

Kepentingan menuntut ilmu

Syahir mengakui kepentingan menuntut ilmu dalam kehidupan seseorang insan.

Dipetik dari Taman Sinar

Kewajipan menutup aurat

Syahir sentiasa menjaga auratnya dalam berpakaian semasa latihan mahupun pertandingan.

Dipetik dari Taman Sinar

Kasih sayang anak kepada emaknya

Syahir telah membatalkan penerbangannya bersama rakan-rakan ke Johor Bahru disebabkan emaknya tidak sihat.

Dipetik dari Taman Sinar

Kasih sayang anak kepada emaknya

Syahir kecundang di tangan Syed Amiri dalam Terbuka Johor kerana pengadilan yang tidak telus dan berat sebelah. Dia turut berhadapan dengan insiden yang sama ketika berada dalam pertandingan akhir di Jakarta.

Dipetik dari Taman Sinar

Latar

Accordion Content

(a)   Waktu malam

– Syahir telah meluangkan masa untuk makan bersama-sama dengan emak dan Kak Uda Syahrizah di rumah mereka.

(b)  15 tahun

–  Syahir telah menjadi johan negeri kategori perseorangan bawah 15 tahun ketika di tingkatan 3. Ayah Syahir telah mematahkan raket dan menghempas piala kemenangannya itu kerana mahu mengendurkan semangatnya terhadap sukan badminton.

(c)   18 tahun

– Syahir berjaya menjuarai kategori perseorangan bawah 18 tahun lantas bergelar juara remaja kebangsaan.

(d)  Pukul 11:10 malam

– Syahir menonton siara Buletin Dunia di televisyen yang menyiarkan tentang perang di Iraq dan senario politik di Palestin.

(e)   Waktu pagi

– sesi latihan badminton diteruskan seperti biasa. Para pemain telah melakukan aktiviti memanskan badan, senaman, dan regangan badan sebelum meneruskan aktiviti lain. Pada masa itu, Syed Amiri sempat menyindir tentang kelayakan Syahir untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

(f)   Pukul 8:30 pagi

– Syahir dan Bernard meneruskan latihan di bawah bimbingan jurulatih, Haji Marzuki. Kemudian, Haji Marzuki telah menyampaikan berita yang kurang baik, iaitu Syahir akan bertemu dengan rakan seperjuangannya, Syed Amiri pada kejohanan Terbuka Johor.

(g)  Selepas solat maghrib

– Syahir mendapatai ada tiga panggilan telefon yang tidak berjawab daripada Wan Najlah pada telefon bimbitnya. Syahir tidak berkesempatan untuk menghubunginya semula kerana latihan sesi malam akan bermula.

(h)  Pukul 11:00 malam

–  Wan Najlah telah memberanikan diri untuk menelefon Syahir bagi meminta maaf atas sikapnya yang emosional terhadap Syahir. Wan Najlah memberitahu hasratnya untuk menutup aurat juga.

(i)    10 minit

– Azmie meminta Syahir menunggunya selama 10 minit kerana pada masa itu dia ada kerja yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

(j)    Pukul 8:30 malam

– Syahir telah kecundang di tangan Syed Amiri dalam kejohanan Terbuka Johor yang menyebabkan dia gagal ke Kejohanan Badminto Antarabangsa di Jakarta.

(k)  Selepas waktu asar

– Syahir, emaknya, dan Kak Uda Syahrizah pergi ke Seremban untuk menziarahi Mak Usu Sapiah.

(l)    Pukul 8:00 malam

– Gopinath terlibat dalam kemalangan jalan raya di Gombak menyebabkan Haji Marzuki memanggil Syahir semula ke kem latihan untuk menggantikan Gopinath.

(m) Pukul 10:15 malam

– pada waktu ini, Syahir mencari ketenangan dengan berjalan-jalan mengelilingi tasik.

(n)  Hampir 2 jam

–  tempoh penerbangan Syahir dan pasukan badminto skuad kebangsaan dari Kuala Lumpur ke Jakarta memakan masa selama hampir 2 jam.

(o)  Pukul 8:20 malam waktu tempatan

– Syahir turun ke gelanggan dengan diiringi oleh Haji Marzuki dan Mas Suparman. Syahir akan bersaing dengan jaguh tuan rumah, iaitu Andri Minarwan.

Dipetik dari Minda Subur

(a)   Rumah keluarga Syahir di Bandar Baru Bangi

–  Emak dan Syahir berbual-bual tentang masa depannya dalam dunia badminton semasa di rumah mereka. Emak berpesan agar Syahir sentiasa mengingati amanat arwah ayahnya juga.

(b)  Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang

– Syahir melanjutkan pelajaran di Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang setelah menolak tawaran untuk menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia.

(c)   Gelanggang latihan badminton

– Skuad badminton kebangsaan menjalani latihan di bawah kendalian Haji Marzuki, Engku Aiman, dan Mas Suparman sebagai persediaan awal sebelum kejohanan Terbuka Johor dan Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

(d)  Restoran 48 jam

– Syahir dan Wan Najhan singgah makan tengah hari di restoran itu lalu bertemu dengan Wan Najlah yang datang untuk membeli nasi ayam.

(e)   Taman Shamelin Perkasa

– Pejabat rakan Syahir, iaitu Azmie yang merupakan seorang wartawan terletak di Taman Shameli Perkasa. Di sana juga Syahir telah didatangi oleh empat orang gadis dan Ratna, iaitu juara program Akademi Impiana.

(f)   Kem latihan pemain wanita

– Kem itu menjadi gempar apabila Wan Najlah hadir untuk menjalani latihan badminton dengan memakai tudung dan berseluar trek panjang.

(g)  Dewan Badminton Tanjung Puteri Utama

– Contohnya, kejohanan Terbuka Johor diadakan di dewan itu yang menyaksikan kekalahan Syahir di tangan Syed Amiri.

(h)  Seremban

– Syahir, emaknya, dan Kak Uda Syahrizah pergi menziarahi rumah Mak Usu Sapiah yang baru sahaja kematian suami.

(i)    Taman tasik

– Syahir mengambil angin pada waktu malam di sekitar taman tasik.

(j)    Stadium badminton Istora Senayan / Gelora Bung Karno

–  Gelanggang pertemuan dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Di sinilah Syahir telah melakarkan nama sebagai juara dunia apabila berjaya mengalahkan Andri Minarwan.

(k)  Hospital di Jakarta

– Syahir telah dibedah sebelum pulang ke Malaysia setelah hampir rebah semasa majlis penyampaian hadiah akibat menghidap radang apendiks.

Dipetik dari Minda Subur

(a)  Masyarakat yang tabah mengharungi liku-liku kehidupan

Contohnya, Syahir seorang pemain badminton skuad kebangsaan yang tabah kerana melalui banyak halangan dan rintangan sebelum berjaya bergelar juara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Indonesia.

(b) Masyarakat yang sentiasa ingat akan pesanan

Contohnya, Syahir sentiasa mengingati pesanan arwah ayahnya agar memberikan sumbangan kepada bangsa, negara, dan memelihara syariat Islam dalam bersukan.

(c)  Masyarakat yang berani untuk mengemukakan pendapat

Contohnya, Syahir berani mengemukakan pendapat tentang tindakan pihak PBSM yang tidak menggunakan sistem rankingdunia untuk menentukan kelayakan ke kejohanan antarabangsa di Jakarta sebaliknya bergantung pada keputusan kejohanan Terbuka Johor.

(d) Masyarakat yang gigih berusaha

Contohnya, para pemain badminton skuad kebangsaan gigih menjalani latihan di bawah bimbingan Haji Marzuki dan Mas Suparman pada setiap hari sebelum kejohanan Terbuka Johor dan Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

(e)  Masyarakat yang pilih kasih

Contohnya, Engku Aiman sering menyebelahi Syed Amiri yang dianggap sebagai anak emas dalam apa-apa jua tindakan.

(f)  Masyarakat yang simpati terhadap nasib orang lain

Contohnya, Syahir berasa simpati akan nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh Amerika dan sekutunya, Israel di tanah air mereka sendiri.

(g) Masyarakat yang tetap pendirian

Contohnya, Syahir tetap dengan prinsipnya untuk memakai pakaian yang menutup aurat ketika bersukan kerana mahu menjaga syariat agama.

(h) Masyarakat yang mengamalkan sikap kasih sayang dalam kehidupan

Contohnya, Kak Uda Syahrizah sanggup mengambil cuti kerana mahu menjaga emaknya yang sedang sakit akibat menghidap strok.

(i)   Masyarakat yang tidak mudah berputus asa

Contohnya, Syahir tetap meneruskan latihan rutin sebagai pemain badminton walaupun telah tersingkir daripada senarai pemain skuad kebangsaan yang akan menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta.

Dipetik dari Gemar Ria

Nilai

Accordion Content

(a)   Kegigihan

Conothnya Syahir dan rakan-rakannya dalam skuad kebangsaan telah berlatih dengan gigih dan bersungguh-sungguh untuk mengharungi kejohanan yang seterusnya.

(b)  Keberanian

Contohnya, tindakan Wan Najlah memakai tudung dan seluar trek panjang semasa berlatih di kem latihan wanita telah membuktikan bahawa dia berani melakukan perubahan untuk menutup aurat seperti yang pernah dikatakan kepada Syahir.

(c)   Kasih sayang

Contohnya, Kak Uda sanggup menjaga emaknya yang menghidap strok dengan mengambil cuti. Tambahan pula, pada masa yang sama Syahir tidak dapat menjaga emak kerana akan bertandiing di Jakarta.

(d)  Keredaan

Contohnya, kekalahan Syahir di tangan Syed amiri dalam kejohanan Terbuka Johor diterima dengan hati yang reda. Syahir memperbanyak zikir dan memohon kepada Allah agar diberi kekuatan untuk menahan diri daripada menyeranah pegawai-pegawai perlawanan yang bersekongkol untuk memenangkan Syed Amiri.

(e)   Kejujuruan

Contohnya, Wan Najlah meminta maaf kepada Syahir atas sikapnya yang emosional. Seterusnya, dia menyatakan hasratnya untuk menutup aurat semasa bermain badminton kerana mahu mengikut jejak langkah Syahir yang memelihara syariat Islam semasa bersukan.

(f)   Rasional

Contohnya, Haji Marzuki menasihat Syahir agar sentiasa bersikap rasional dan tenang sebagai persediaan ke Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Haji Marzuki mahu Syahir mengenal pasti kekuatan dan kelemahannya terlebih dahulu.

Dipetik dari Gemar Ria

Gaya Bahasa

Accordion Content

Contohnya, Tidak semena-mena wajah arwah abah pula yang hadir di layar minda.

Dipetik dari Seri Segar

– Datang tidak bersambut, pulang biarlah berhantar

– Berpeluk tubuh

– Makan hati

– Kepala batu

Dipetik dari Seri Segar

Contohnya, “Kadang-kadang terasa macam bola, disepak dilambung ke sana ke mari.”

Dipetik dari Seri Segar

Contohnya, “Saya tak sedap hati nak pergi, kak.”

Dipetik dari Seri Segar

Contohnya, Ada keresahan mengintai dalamnubari.

Dipetik dari Seri Segar

Contohnya, Peluang kini terbuka luas untuk saya mematikan bulu tangkis dengan smash tajam membunuh ke lantai kejat gelanggangnya.

Dipetik dari Seri Segar

Watak & Perwatakan

Accordion Content

  • Pemain badminton skuad kebangsaan.
  • Anak bongsu daripada lima orang adik beradik.
  • Mahasiswa di Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang.
  • Seorang yang tabah menghadapi dugaan hidup.
  • Seorang yang tetap pendirian.
  • Penyayang.
  • Penyabar.
  • Taat akan pesanan.
  • Menurut tunjuk ajar dan nasihat.

Dipetik dari Skor Bestari

  • Kak Uda Syahrizah ialah kakak kepada Syahir.
  • Dia merupakan pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Seorang yang penyayang.
  • Seorang yang memahami.
  • Seorang yang suka mengusik.

Dipetik dari Skor Bestari

  • Jurulatih perseorangan badminton skuad kebangsaan.
  • Berpandangan positif.
  • Pandai menyelami perasaan orang lain.
  • Berani mengambil keputusan.
  • Bertanggungjawab.

Dipetik dari Skor Bestari

  • Pemain badminton skuad kebangsaan.
  • Seorang yang suka menyindir.
  • Seorang yang memandang rendah kebolehan orang lain.

Dipetik dari Skor Bestari

Pengajaran

Accordion Content

  • Kita hendaklah mengingati pesanan yang baik yang disampaikan oleh seseorang. Contohnya, Syahir sentiasa mengingati pesanan arwah ayahnya agar memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara serta memelihara syariat dalam bersukan.

  • Kita haruslah berani untuk menyatakan pendapat. Contohnya, Syahir berani menyatakan pendapatnya bahawa dia tidak bersetuju dengan tindakan pihak PBSM yang tidak menggunakan ranking dunia dalam pemilihan pemain bagi kejohanan dunia di Jakarta. PBSM telah menukarkannya kepada prestasi semasa Kejohanan Terbuka Johor untuk pemilihan mewakili negara.

  • Kita mestilah berpendirian teguh dalam melakukan sesuatu. Contohnya, Syahir tetap dengan pendiriannya untuk menutup aurat semasa bermain badminton walaupun sesetengah pihak tidak bersetuju pada mulanya dan ada yang melabelkan dia sebagai muslim yang konservatif serta ‘kepala batu dari hulu.’

  • Kita hendaklah berfikiran positif terhadap sesuatu perkara. Contohnya, Syahir hanya tersenyum dan mengambil positif kritikan Engku Aiman yang mempertikaikan permainannya yang dikatakan agak lembap, kelam-kabut, dan mudah terikut-ikut rentak lawan. Engku Aiman menganggap Syahir tidak mampu melawan pemain dari China.

  • Kita tidak seharusnya memandang rendah terhadap orang lain. Contohnya, Engku Aiman dan Syed Amiri telah memandang rendah akan keupayaan Syahir untuk mara ke Kejohanan Badminton Kebangsaan di Jakarta.

  • Kita tidak seharusnya bersikap pilih kasih dalam kehidupan. Contohnya, Engku Aiman menganggap Syed Amiri sebagai anak emas dan sentiasa memuji keupayaan pemain itu manakala pemain-pemain badminton yang lain dianggap tidak sehebat Syed Amiri, terutamanya Syahir.

Dipetik dari Pohon Rimbun

Binaan Plot

Accordion Content

Syahir merupakan salah seorang pemain badminton skuad kebangsaan. Dia ditemu ramah oleh rakan baiknya, iaitu Azmie. Perbualan antara mereka berdua agak lama hingga menyebabkan dia lewat masuk ke dalam dewan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh ketua jurulatih, iaitu Engku Aiman. Syahir diberitahu bahawa mereka terpaksa menyertai Kejohanan Terbuka Johor. Peraturan dan kehendak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) mewajibkan mereka menyertai kejohanan tersebut terlebih dahulu untuk menentukan sama ada mereka layak mewakili negara ke Jakarta atau tidak.

Dipetik dari Skor Bestari

Syahir sebagai seorang pemain badminton menjalani kehidupan yang penuh liku dan cabaran sebelum layak ke Jakarta. Berita kurang menyenangkan daripada pihak PBSM telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemain, terutamanya Syahir. Hal ini demikian kerana, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri. Dalam peraturan baru itu, Engku Aiman mengatakan bahawa rankingdunia tidak akan menjamin prestasi semasa.

Dipetik dari Skor Bestari

Haji Marzuki dan Mas Suparman terpaksa akur dengan keputusan PBSM dan terus melatih pemain skuad kebangsaan, terutamanya Syahir dan Bernard yang dikatakan memiliki potensi dalam permainan. Syahir sering menjadi bahan sindiran dan ejekan oleh Syed Amiri dan Engku Aiman tidak menyukainya. Pada suatu hari, Syahir pergi ke pejabat rakan baiknya, Azmie di Taman Shamelin Perkasa. Di sana, dia didatangi oleh empat orang gadis dan Ratna, iaitu juara program Akademi Impiana untuk bergambar bersama-sama. Pada mulanya dia menolak, tetapi Syahir terpaksa akur apabila diberi alasan untuk bergambar beramai-ramai. Kesan daripada peristiwa itu, Syahir digosipkan bercinta dengan Ratna apabila gambar mereka berdua tersiar dalam akhbar. Perjalanan Syahir untuk mewakili negara ke Jakarta semakin rumit apabila dia berhadapan dengan masalah emaknya yang sakit sebelum dia ke Johor. Semasa Kejohanan Terbuka Johor, Syahir telah ditewaskan oleh Syed Amiri menyebabkan harapannya untuk menyertai Kejohanan Dunia di Jakarta tidak kesampaian.

Dipetik dari Skor Bestari

Syahir dikehendaki menggantikan Gopinath ke Jakarta kerana rakannya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Walaupun dia terpaksa menghadapi rintangan apabila diberitahu bahawa emaknya menghidap strok, Syahir tabah melangkahkan kaki ke Jakarta bagi memikul harapan jurulatih dan negara. Syahir yang berjaya ke peringkat akhir akan bertemu dengan Andri Mirnawan, iaitu wakil tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan wakil Indonesia itu walaupun menghadapi kesukaran seperti keputusan pengadil yang berat sebelah, sokongan padu daripada para penyokong Andri, dan kesakitan pada bahagian perut yang dialaminya.

Dipetik dari Skor Bestari

Syahir hampir rebah semasa majlis penyampaian hadiah dan segera dikejarkan ke hospital. Syahir telah disahkan menghidap Apendisitis atau radang apendiks dan telah dibedah di Jakarta sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Syahir amat bersyukur dan menganggap bahawa kemenangan itu adalah untuk bangsa, agama, dan negara. Sebaik-baik tiba di Malaysia, Syahir melawat emaknya di hospital dan menyerahkan pingat yang dimenanginya kepada emaknya. Azam Syahir yang seterusnya ialah mewakili negara ke Sukan Olimpik pula.

Dipetik dari Skor Bestari

Teknik Plot

Accordion Content

Contohnya, perbualan antara Syahir dengan Azmie. Syahir meminta rakan baiknya itu agar tidak menulis perkara yang tidak sepatutnya dalam Mingguan Riadah itu nanti.

Dipetik dari Seri Segar

Contohnya, Syahir bermonolog mempertikaikan kemenangan Syed Amiri dalam kejohanan Terbuka Johor adalah kerana pengadil perlawanan turut bersekongkol untuk memberikan kemenangan kepada Syed Amiri.

Dipetik dari Seri Segar

Contohnya, emak telah mengingatkan semula tentang pesanan arwah ayah Syahir kepada Syahir.

Dipetik dari Seri Segar

Syahir berasa serba salah untuk meneruskan perjuangannya di Jakarta setelah mendapat berita bahawa emaknya diserang strok. Syahir mula membayangkan keadaan yang akan berlaku sekiranya emaknya meninggal dunia semasa dia berada di Jakarta.

Dipetik dari Seri Segar

Contohnya, semasa pertarungan antara Syahir dengan Syed Amiri, pembaca tertanya-tanya pemain yang akan memenangi perlawanan badminton tersebut. Hal ini demikian kerana pertarungan antara mereka sangat sengit, ditambah pula dengan beberapa keputusan pengadil yang berat sebelah.

Dipetik dari Seri Segar

Contoh Soalan & Skema Jawapan