Chot

Chot (Azizi Bin Haji Abdullah)

Novel ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot.

Sipnosis

Accordion Content

Novel ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot. Hubungan antara Alias dengan Chot sangat rapat kerana Alias amat mengharapkan Chot untuk membantunya menyara kehidupannya dan ibunya. Ibu Alias mengalami lumpuh, manakala ayahnya telah meninggal dunia sejak lima tahun yang lalu akibat terjatuh semasa memanjat pokok kelapa. Chot merupakan peninggalan arwah ayahnya yang telah dilatih untuk memetik buah kelapa.

Alias tinggal dan membesar di Kampung Dingin. Dia tinggal di sebuah rumah yang sangat usang kerana hanya beratapkan daun rumbia, berdindingkan buluh, papannya pula sudah dimakan anai-anai, manakala tangganya diperbuat daripada batang kayu dan tempinis lama. Mujurlah Mak Su Kiah, iaitu jiran Alias seorang yang baik hati dan selalu menghantar makanan untuk mereka.

Som ialah jiran dan sahabat Alias yang paling rapat serta memahaminya. Mereka bersekolah di sekolah yang sama. Cabaran hidup Alias bertambah rumit apabila Cikgu Sunan, iaitu guru mata pelajaran Matematiknya telah menengkingnya sehingga membuatkan Alias terkejut dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena pada bucu meja rakannya. Akibatnya, telinga Alias bengkak dan bernanah serta berbau busuk. Alias mengambil keputusan untuk tidak datang ke sekolah kerana berasa malu.

Chot pernah hilang sebanyak dua kali. Alias mencarinya di sekeliling kawasan kampung kerana dia amat sayang akan beruknya itu. Alias dan Chot mengambil upah dengan memetik buah kelapa di kebun Pak Din, iaitu ayah Som. Upah memetik buah kelapa itu telah digunakan oleh Alias untuk membeli barangan dapur bagi menyara kehidupannya dan ibunya. Alias dan Chot selalu diusik oleh Budin, Kamal, dan Talib semasa memetik buah kelapa. Pada masa yang sama, Chot telah dituduh menceroboh kebun Miah dan merosakkan setandan pisang miliknya. Pak Din berusaha untuk mententeramkan keadaan dan berjanji akan membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut. Rupa-rupanya beruk yang merosakkan kebun pisang Miah itu bukanlah Chot.

Cikgu Sunan berasa bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan Alias jatuh terlentang sehingga telinganya bengkak dan bernanah. Dia telah meminta bantuan Som untuk menunjukkan lokasi rumah Alias. Kehadiran Cikgu Sunan ke rumah Alias adalah untuk bertanyakan sebab Alias tidak datang ke sekolah sedangkan peperiksaan akhir akan bermula tidak lama lagi. Chot yang berada di atas pokok langsat berasa kurang senang akan kehadiran Cikgu Sunan. Alias yang baru pulang sambil membawa dua biji buah kelapa bersalaman dengan Cikgu Sunan. Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.

Semasa Cikgu Sunan melihat telinga Alias, Chot yang berada di atas dahan pokok langsat telah meronta-ronta sehingga rantai yang mengikatnya putus. Chot menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan. Alias cuba untuk melepaskan lengan Cikgu Sunan daripada gigitan Chot tetapi gagal. Alias mengambil lembingnya lalu merodok perut Chot hingga menyebabkan Chot terkulai dan mati. Alias berasa amat sedih kerana beruk yang selama ini membantunya mencari rezeki telah mati dan dia tidak dapat ke sekolah lagi. Cikgu Sunan menenangkan Alias dan berjanji akan menanggung segala kos persekolahannya sehinggalah dia memasuki universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis “Tunggu aku di pintu universiti, Chot”. Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.

Dipetik dari Makmur Sejahtera

– Pada waktu pagi, Alias telah dikejutkan oleh ibunya untuk bangun, mandi dan bersembahyang subuh sebelum bersiap-siap hendak ke sekolah.

– Alias meminta keizinan daripada ibunya untuk pergi ke sekolah namun dia mendapati Chot tiada. Hal ini menyebabkan Alias berasa tidak menentu dan terus mencari Chot di sekitar perdu pokok langsat di tepi rumahnya dan di sekeliling kampung walaupun sedar dia akan lewat datang ke sekolah.

– Alias berlari-lari hingga sampai di simpang jalan tempat Som menunggunya. Dia memberitahu Som bahawa Chot hilang.

–  Alias menyuruh Som pergi ke sekolah dahulu kerana dia mahu meneruskan usaha mencari Chot di sekeliling kampung.

– Chot yang merupakan seekor beruk itu adalah nyawanya serta punca pendapatannya untuk ke sekolah dan untuk perbelanjaan ibunya.

Dipetik dari Makmur Sejahtera

– Setibanya di sekolah, Som melihat rakan-rakannya yang lain sedang berbaris di perhimpunan. Cikgu Sunan merupakan guru bertugas pada minggu itu dan dia dibantu oleh pengawas sekolah.

– Som masuk ke dalam barisan darjah lima. Dia masih tertanya-tanya sama ada Alias akan datang ke sekolah ataupun tidak. Tambahan pula, Cikgu Sunan sedang memerhatikan barisan kelasnya pada masa itu.

– Semasa di perhimpunan, semua murid mengaminkan doa yang dibaca oleh Ketua Pengawas. Cikgu Sunan menegur sikap murid yang tidak menghayati doa yang dibacakan pada setiap awal minggu.

– Cikgu Sunan digambarkan sebagai seorang guru yang sangat garang. Dia memarahi murid yang bermain-main di sekitar keretanya dan mencalarkan kereta Volvo miliknya.

– Sikap murid yang membuang sampah dan berbuat bising di dalam kelas semasa ketiadaan guru juga telah ditegur oleh Cikgu Sunan.

– Cikgu Sunan pernah bertanya kepada Som dan Alias ketika mereka pulang dari sekolah kelmarin apabila mendapati terdapat kesan calar pada pintu depan keretanya itu. Som berasa hairan akan sikap Cikgu Sunan yang sering bertanya kepada Alias setiap kali berlakunya perkara yang tidak baik.

– Som bergerak mengikut barisan menuju ke kelasnya. Som berasa susah hati kerana dia pasti Alias tidak akan datang ke sekolah.

Dipetik dari Makmur Sejahtera

– Alias telah mencari Chot di merata-rata tempat termasuk di sekitar kebun Pak Din, kebun pisang Mak Miah, ke hujung kampung, pinggir sungai, dan di tepi sawah tetapi masih tidak menemuinya. Alias memanggil nama Chot berulang-ulang kali. Alias sedar, jika Chot tidak dijumpai dia pasti akan susah nanti.

– Dalam perjalanan, Alias telah bertembung dengan Salleh dan Hamad yang sedang membawa raga berisi kelapa masak pada belakang basikal mereka.

– Alias sempat bertanya kepada Salleh dan Hamad tentang beruknya itu, tetapi diketawakan oleh mereka. Mereka menyuruh Alias mengurung beruknya di dalam kelambu bagi mengelakkan Chot hilang.

– Alias mengambil keputusan untuk ke sekolah apabila menyedari waktu sudah lewat dan dia sanggup dimarahi oleh Cikgu Sunan.

Dipetik dari Makmur Sejahtera

– Cikgu Sunan sedang mengajar mata pelajaran Matematik di dalam kelas Som. Sebanyak dua puluh soalan Matematik telah diberi dan semua murid dikehendaki untuk menyalin dan menjawab soalan tersebut.

– Cikgu Sunan berjalan di dalam kelas sambil memerhatikan murid yang sedang menjawab soalan. Som berasa takut sekiranya Cikgu Sunan bertanya tentang Alias. Tiba-tiba Alias muncul di depan pintu kelas dengan memberi salam tetapi tidak dijawab oleh Cikgu Sunan.

– Alias dipanggil oleh Cikgu Sunan untuk bertanyakan sebab dia lewat tiba di sekolah. Alias berasa takut untuk memberitahu hal yang sebenar kepada Cikgu Sunan.

– Cikgu Sunan berasa marah kerana pertanyaannya yang berulang kali itu tidak mendapat jawapan daripada Alias.

– Akhirnya Alias berterus terang dengan mengatakan beruknya telah hilang dan dia mencari beruknya itu di sekeliling kampung sebelum ke sekolah.

– Cikgu Sunan mengatakan bahawa Alias lebih mementingkan beruknya berbanding pelajaran. Alias memberitahu bahawa dia amat menyayangi beruknya itu. Jawapan Alias itu menyebabkan Cikgu Sunan berasa marah hingga menjerit memarahi Alias.

– Pandangan Alias menjadi berpinar-pinar hingga dia terdorong ke belakang dan jatuh terlentang. Telinga kanan Alias terkena bucu meja murid. Alias bangun semula. Dia berasa sakit yang berdenyut-denyut dalam telinganya.

– Cikgu Sunan keluar dari kelas itu dengan perasaan marah dan kesal. Semasa rehat, semua murid berebut-rebut ke kantin namun Alias masih berdiri di tempat tadi untuk menunggu arahan daripada Cikgu Sunan.

– Setelah dibenarkan keluar, Alias hanya duduk di bawah pokok bidara yang rendang. Dia makan sebungkus nasi lemak yang diberi oleh Som. Som bersimpati kepada Alias yang sudah pasti akan diejek oleh kawan-kawannya apabila masuk ke kelas nanti.

Dipetik dari Makmur Sejahtera

– Alias tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas kerana telinganya sakit. Dia hanya melihat papan tulis sambil menahan kesakitan dan sedaya-upaya tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

– Selepas  loceng  sekolah  yang  menandakan  waktu  pulang berbunyi, Alias dan Som diarahkan oleh Cikgu Sunan untuk membuang pasir-pasir di getah tempat pemijak kaki keretanya.

– Alias tidak berasa marah akan Cikgu Sunan, sebaliknya berbangga kerana Cikgu Sunan menyuruh mereka melakukan tugas itu dan bukannya murid lain.

– Som berasa geram kepada Alias kerana masih mahu mengambil hati Cikgu Sunan walaupun sudah jatuh akibat dimarahi oleh cikgunya itu.

– Dalam perjalanan pulang ke rumah, Som ternampak daun pokok cenerai bergoyang-goyang. Som melihat Chot sedang mengintai-intai di celah-celah ranting dan daun pokok itu.

– Som memberitahu Alias tentang hal tersebut. Alias berasa sangat gembira dan memanggil Chot serta memujuknya supaya turun dari pokok. Chot mengikut Alias pulang ke rumahnya.

Dipetik dari Makmur Sejahtera

– Alias segera ke pokok langsat untuk mengambil tiga biji pisang untuk Chot. Dia juga mengikat semula rantai Chot yang terputus dengan menggunakan dawai buruk sepanjang sejengkal.

– Alias bercakap dengan Chot sambil menasihati agar Chot tidak memutuskan rantai itu lagi pada masa akan datang.

– Ibu Alias yang sedang tidur menyedari Alias sudah pulang. Ibunya sudah lama menghidap sakit lumpuh.

– Kehadiran Mak Su Kiah yang datang membawa sepinggan nasi dan semangkuk gulai telah mematikan hasrat Alias untuk memasak. Mak Su Kiah ialah jiran sebelah rumah Alias yang sudah kematian suami.

– Mak Su Kiah seorang yang mengambil berat terhadap kehidupan Alias dan ibunya. Kebaikan yang dilakukan oleh Mak Su Kiah itu menyebabkan ibu Alias berasa amat terhutang budi kepadanya.

– Alias sempat bertanya kepada Mak Su Kiah tentang kelapa masak kerana petang itu dia dan Chot akan pergi memetik kelapa. Alias bergantung harapan kepada Chot untuk mencari rezeki setelah kematian ayahnya lima tahun yang lalu akibat terjatuh dari pokok kelapa.

– Tiba-tiba Alias terasa lubang telinganya berdengung-dengung dan semakin sakit. Dia perlu membawa Chot memetik buah kelapa kerana barang-barang dapur seperti beras, ikan kering gelama, dan minyak masak sudah hampir habis.

Dipetik dari Makmur Sejahtera

– Alias mengambil keputusan untuk membenarkan Chot berehat. Dia telah menukar rantai leher Chot. Chot melompat ke atas bahu kanan Alias tetapi Alias mengalih kedudukan beruknya itu ke bahu kirinya. Dia bimbang Chot tersentuh cuping telinganya yang sakit.

– Alias dan Chot lalu di hadapan rumah Som dan mengharapkan Som akan mengikut mereka ke sungai. Namun demikian, hasratnya tidak tercapai kerana Som tidak kelihatan di rumahnya itu.

– Setibanya di sungai, Chot enggan mengikut Alias untuk mandi kerana takut akan air. Chot ditambat pada tiang kayu tempeneh sementara dia mandi. Namun tidak lama kemudian, Alias membuka ikatan rantai pada Chot lalu memandikannya.

– Som datang sambil membawa sebiji pisang bunga untuk diberikan kepada Chot. Selesai mandi, Alias menambat Chot semula pada tiang kayu tempeneh.

– Dalam perjalanan pulang ke rumah, Som bertanya kepada Alias sama ada dia pergi ke sekolah keesokannya atau tidak. Alias menyatakan ketidakpastiannya dengan memberikan alasan bahawa dia kurang sihat.

– Som mengetahui sebenarnya Alias berasa sakit akibat telinganya terkena bucu meja pada tengah hari itu. Alias berharap agar Som tidak memberitahu hal tersebut kepada orang lain.

Dipetik dari Bayu Permata

– Alias dilahirkan di Kampung Dingin. Pekerjaan penduduk di sana adalah tidak tetap, ada yang menjadi penoreh, mencari buluh, dan mencari pucuk ulam. Penduduk kampung tidak akan melakukan apa-apa kegiatan pada waktu malam melainkan sesetengahnya belajar bersilat.

– Menjelang jam 10 malam, Alias selesai membaca al-Quran juzuk yang ketiga. Som tidak datang ke rumahnya untuk mengaji bersama-sama Alias pada malam itu.

– Alias masih berasa sakit pada telinga kanannya. Alias meniarap di sisi ibunya sambil membuat kerja Matematik yang diarahkan oleh Cikgu Sunan.

– Alias berhasrat untuk memberitahu ibunya bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah keesokannya, tetapi niatnya itu dibatalkan kerana tidak mempunyai alasan yang kukuh.

– Denyutan  di  telinga  Alias  semakin  kuat  dan  Alias  berasa seperti ada benda berair yang hendak meleleh keluar dari telinganya itu. Alias menyimpan buku latihannya ke dalam beg. Alias tidur di sebelah ibunya sambil menahan kesakitan.

– Alias membayangkan Cikgu Alias berdiri di hadapan kelas sambil bertanyakan sebab dia tidak hadir ke sekolah. Lamunannya terhenti apabila ibunya memadamkan lampu pelita minyak tanah. Akhirnya Alias tertidur dalam kesakitan.

Dipetik dari Bayu Permata

– Pada pagi itu Alias bangun lewat walaupun sudah dikejutkan oleh ibunya. Hal ini demikian kerana telinganya masih berasa sakit. Dia ingin memberitahu perkara itu kepada ibunya tetapi tidak tahu alasan yang boleh diberikan.

– Alias mengambil keputusan untuk tidak pergi ke sekolah kerana ingin memetik buah kelapa bersama-sama dengan Chot. Ibu Alias menasihatinya agar tidak kerap ponteng sekolah.

– Alias sememangnya tidak mahu ponteng sekolah dan dia mahu belajar bersungguh-sungguh. Cikgu Sunan juga pernah memujinya dalam mata pelajaran Matematik.

– Mak Su Kiah menegur Alias yang sudah bersedia untuk pergi memetik kelapa bersama dengan Chot. Mak Su Kiah akan menghantar nasi ke rumah Alias pada tengah hari nanti. Dia juga berasa simpati akan kesusahan hidup yang ditanggung oleh Alias dan ibunya.

Dipetik dari Bayu Permata

– Alias memetik buah kelapa di kebun Pak Din bersama-sama dengan Chot. Pak Din digambarkan sebagai seorang yang sangat baik. Oleh itu, Som juga menjadi baik seperti ayahnya.

– Pak Din gemar memilih Alias untuk menguruskan buah kelapa di kebunnya walaupun terdapat pemanjat pokok kelapa lain seperti Said Capik di kampung itu. Hal ini demikian kerana dia bersimpati terhadap Alias.

– Alias memilih pokok kelapa yang sesuai lalu mengarahkan Chot supaya memanjat pokok tersebut. Alias mempelajari cara untuk mengarahkan Chot memanjat dan memetik kelapa daripada arwah ayahnya.

– Alias merasakan telinganya semakin berdenyut kuat dan mendapati ada nanah busuk yang keluar dari telinganya. Dia berfikir sama ada dia mampu meneruskan kerja memetik buah kelapa ataupun tidak. Hal ini demikian kerana dia bimbang keadaan telinganya itu menjadi lebih teruk. Namun demikian, Alias teringat akan barang-barang di dapur rumahnya yang sudah hampir habis.

– Alias mengambil keputusan untuk berehat selama lima belas minit sambil cuba membaca buku sekolah yang dibawanya.

– Tiba-tiba muncul Budin, Kamal, dan Talib yang meminta buah kelapa muda. Alias tidak mengendahkan permintaan itu kerana Pak Din menyuruh dia memetik buah kelapa tua sahaja.

– Kamal mengambil sebiji kelapa milik Pak Din yang agak muda lalu menakik-nakik buah kelapa itu untuk diminum. Alias tidak dapat menghalang perbuatan Kamal.

– Selepas ketiga-tiga pemuda kampung itu beredar, Alias merungkai tali yang menambat Chot. Alias tidak berdaya untuk mengangkut dan mengumpulkan lapan biji kelapa yang telah dipetik kerana telinganya semakin sakit. Alias mengambil keputusan untuk pulang bersama-sama dengan Chot.

Dipetik dari Bayu Permata

– Setibanya di rumah, Alias terdengar ibunya batuk-batuk dari dalam rumah. Ibunya menganggap tindakan Alias memetik buah kelapa pada pagi itu adalah kerana Alias mahu membalas dendam terhadap Chot yang bertindak melarikan diri.

– Alias mencadangkan agar ibunya minum air kelapa untuk mengurangkan batuknya. Sebaik-baik sahaja Alias hendak menuruni tangga rumahnya, Mak Su Kiah datang membawa nasi dan lauk untuk Alias dan ibunya.

– Alias pergi ke rumah Pak Din untuk meminta Pak Din membelikan ubat batuk untuk ibunya dan memberitahu jumlah buah kelapa yang telah dipetik.

– Semasa menunggu Pak Din, Som menceritakan tentang Cikgu Sunan yang bertanyakan sebab Alias tidak hadir ke sekolah. Som menasihati Alias agar hadir ke sekolah dan membawa wang sebanyak tiga ringgit untuk derma PIBG.

– Pak Din memberi Alias sebanyak lima belas ringgit sebagai upah dia memetik buah kelapa.

Dipetik dari Bayu Permata

– Selepas berjumpa dengan Pak Din, dia singgah di kedai Ah Chai untuk membeli beras, gula, kopi, ikan gelama, dan dua biji pisang untuk Chot.

– Alias menceritakan perihal Pak Din yang memberikan upah sebanyak lima belas ringgit sebagai upah memetik kelapa kerana ibunya berasa hairan apabila dia mempunyai wang sebanyak itu. Dia juga memberitahu bahawa Pak Din akan membelikan ubat batuk untuk ibunya.

– Ibu Alias terhidu bau busuk dan mendapati bau busuk tersebut datang daripada telinga Alias yang bernanah. Dia menyuruh Alias menyapukan minyak angin pada telinganya.

– Alias berasa bimbang sekiranya bau busuk tersebut akan menyebabkan Som tidak mahu berkawan dengannya dan rakan-rakannya yang lain sudah pasti akan mengejeknya nanti. Namun Alias yakin bahawa Chot akan tetap berkawan dengannya.

Dipetik dari Bayu Permata

– Sudah seminggu Alias tidak hadir ke sekolah sejak telinganya bengkak dan bernanah. Namun demikian, dia akan pergi ke rumah Som untuk menyalin nota dan kerja rumah.

– Alias membuat pelbagai andaian kerana sedar bau busuk itu akan menyebabkan dia diejek oleh kawan-kawannya, termasuklah Cikgu Sunan.

– Dia bimbang jika Cikgu Sunan menyuruhnya pergi ke klinik di pekan yang jauh itu dan risau sekiranya dia tidak dapat hadir pada hari peperiksaan disebabkan nanah di telinganya yang meleleh.

Dipetik dari Bayu Permata

– Cikgu Sunan bertanya kepada Som tentang sebab Alias sudah lebih seminggu tidak hadir ke sekolah memandangkan rumah Alias berdekatan dengan rumahnya.

– Cikgu Sunan menasihati murid-murid di dalam kelasnya supaya tidak bersikap seperti Alias yang sering bersama-sama dengan beruknya.

– Cikgu Sunan juga menuduh Som yang dikatakan berkawan dengan Alias dan lama-kelamaan akan menjadi seperti kawannya itu hingga menyebabkan Som berasa malu.

– Tiba-tiba Guru Besar datang dan memanggil Cikgu Sunan ke biliknya.

Dipetik dari Bayu Permata

– Guru Besar mendapati Alias tidak hadir lebih dari lima hari berdasarkan rekod buku kedatangan kelas. Dia bertanyakan hal itu kepada Cikgu Sunan. Cikgu Sunan menyatakan bahawa dia tidak mengetahui sebabnya walaupun sudah bertanya kepada Som.

– Guru Besar sedia maklum perihal Alias sebagai seorang murid yang miskin dan kematian ayah. Namun dia tidak mengetahui perihal  ibu  Alias  yang  sakit  lumpuh  dan  perihal  Alias mempunyai seekor beruk kerana perkara tersebut dirahsiakan.

– Guru Besar amat sayang akan Alias berbanding dengan Cikgu Sunan. Dia mengarahkan Cikgu Sunan agar menyiasat hal tersebut.

– Tiba-tiba mereka digemparkan dengan kehadiran beruk di belakang hutan sekolah. Ada yang menyangkakan beruk itu ialah beruk Alias dan ada pula yang mengarahkan agar beruk itu ditembak.

– Som mengatakan beruk itu bukanlah beruk Alias kerana dia amat mengenali Chot. Akhirnya, semua murid diarahkan untuk beredar dan Cikgu Sunan meminta Som menunjukkan rumah Alias pada hari esok atau lusa.

Dipetik dari Bayu Permata

– Alias dan Chot tidak kelihatan di rumah menyebabkan ibunya tertanya-tanya akan ketiadaan anaknya itu. Kebiasaannya, Alias akan memberitahu ibunya apabila hendak ke mana-mana.

– Mak Su Kiah datang membawa nasi dan gulai untuk mereka. Tiba-tiba Miah dan Budin datang ke rumah Alias dengan membawa setandan pisang emas yang sudah rosak.

– Dalam keadaan marah-marah, Miah menuduh Chot telah merosakkan pisang di kebunnya lalu meminta ganti rugi.

– Ibu Alias berasa sedih dan mempertahankan Chot yang tidak akan melakukan perkara itu. Pak Din juga datang ke rumah Alias dan cuba untuk mententeramkan keadaan. Dia berjanji untuk menggantikan pisang yang rosak itu.

– Alias baru sahaja pulang setelah membeli ubat sakit telinganya di pekan. Dia tidak menyangka rantai Chot akan putus sekali lagi.

– Tiba-tiba, Kamal, iaitu rakan Budin muncul dan memberitahu tentang beruk yang merosakkan pisang itu telah mati ditembak.

– Alias terkejut mendengar berita itu dan terus berlari untuk mendapatkan kepastian tentang hal tersebut.

– Di pertengahan jalan, Alias terserempak dengan Som yang memberitahunya bahawa beruk yang mati ditembak itu bukannya Chot.

Dipetik dari Harapan Cerah

– Pada malam itu, Som sahaja yang mengaji, manakala Alias masih berdukacita atas kehilangan Chot buat kali kedua.

– Alias sedar akan kesalahannya yang terlupa memberikan pisang kepada Chot semasa dia pergi ke pekan. Alias memikirkan sudah tentu dia akan mengalami kesusahan kerana ketiadaan Chot.

– Som meminta Alias membantunya membuat latihan Matematik. Som tahu jika Alias tidak mahu ke sekolah, sudah pasti dia tidak akan menduduki peperiksaan akhir nanti. Som cuba untuk memujuk Alias ke sekolah tetapi dia enggan kerana mahu mencari Chot.

– Bau busuk dari telinga Alias yang bernanah menyebabkan Som berasa kurang selesa. Alias berasa tersinggung apabila merasakan seolah-olah Som menghinanya.

– Alias menuruni tangga rumah untuk memanggil Pak Din kerana Som mahu pulang ke rumahnya.

– Tiba-tiba mereka terdengar suara Chot di atas pokok langsat. Alias berasa sangat gembira kerana Chot sudah pulang.

Dipetik dari Harapan Cerah

– Tempat duduk Alias telah lama kosong sejak peristiwa dia jatuh terlentang di dalam kelas beberapa hari yang lalu.

– Som bimbang akan dimarahi oleh Cikgu Sunan sekiranya dia tidak dapat menjawab soalan Matematik yang ditanya oleh Cikgu Sunan.

– Som turut bimbang sekiranya Cikgu Sunan bertanya tentang ketidakhadiran Alias kepadanya kerana dia tinggal berdekatan dengan rumah Alias.

– Som telah menyuruh Alias menulis surat untuk mengatakan bahawa dia sakit tetapi tidak dipedulikan oleh Alias. Cikgu Sunan telah memuji-muji Som kerana berjaya membuat latihan yang telah diberikan.

– Cikgu Sunan meninggalkan kelas darjah lima kerana mahu berjumpa dengan Guru Besar. Som diejek oleh rakan-rakannya di dalam kelas yang mengatakan bahawa Som dapat menjawab soalan Matematik disebabkan Som berkawan dengan Alias.

– Som pergi ke tandas kerana berasa malu. Cikgu Sunan menunggu Som di luar tandas dan memintanya untuk menunjukkan rumah Alias selepas tamat waktu persekolahan nanti.

– Som berasa serba salah kerana takut akan dimarahi oleh Alias dan bimbang perkara yang tidak diingini berlaku.

– Cikgu Sunan tidak dapat mengajar seperti biasa kerana ada sesuatu yang merungsingkan fikirannya. Dia juga mendapat tahu bahawa telinga Alias bengkak dan bernanah.

Dipetik dari Harapan Cerah

– Som pulang dari sekolah dengan menumpang kereta Volvo Cikgu Sunan kerana cikgunya itu mahu ke rumah Alias.

– Dalam perjalanan ke rumah Alias, Cikgu Sunan telah mengetahui latar belakang Alias yang tinggal bersama-sama dengan ibunya yang lumpuh dan seekor beruk bernama Chot daripada Som.

– Som tidak mahu ke rumah Alias bersama-sama dengan Cikgu Sunan kerana bimbang akan dimarahi oleh Alias lalu mengambil keputusan untuk turun di suatu titi.

– Setelah sampai di rumah Alias, Cikgu Sunan melihat kedaifan kehidupan Alias dan ibunya.

– Cikgu Sunan memberitahu tentang kedatangannya kepada ibu Alias adalah untuk bertanya sebab Alias tidak hadir ke sekolah sedangkan peperiksaan sudah semakin hampir.

– Cikgu Sunan berasa bersalah kerana telah menengking Alias sehingga menyebabkan Alias jatuh terlentang di dalam kelas dan menyebabkan telinga kanan Alias bengkak dan bernanah.

– Dia berasa menyesal kerana tidak memasukkan nama Alias dalam senarai penerima bantuan pakaian juga.

– Alias pulang ke rumah sambil membawa dua biji kelapa tua dan sebuah buku kerja. Alias menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Cikgu Sunan.

– Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.

– Chot berang melihat keadaan itu lalu menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan.

– Alias yang terkejut cuba mententeramkan Chot dan melepaskan gigitannya pada lengan Cikgu Sunan tetapi tidak berjaya.

– Alias mengambil lembing lalu merodok lembing itu pada perut Chot menyebabkan Chot terkulai dan mati.

– Alias berasa sangat sedih lalu memeluk Chot. Dia mengatakan bahawa dia tidak mampu lagi untuk bersekolah kerana dia tidak dapat menyara kehidupannya dan ibunya tanpa bantuan Chot.

– Cikgu Sunan berjanji akan membiayai persekolahan Alias sehingga Alias memasuki universiti.

Dipetik dari Harapan Cerah

– Alias telah mengorek lubang sedalam kira-kira dua kaki untuk menanam Chot yang telah dibalut dengan kain buruk.

– Ibu Alias, Pak Din, Mak Su Kiah, dan Som berasa sedih melihat Alias yang menanam Chot di bawah pokok langsat, tempat Chot ditambat sewaktu Chot hidup.

– Alias mengambil papan sepanjang satu kaki lalu mencacakkannya seperti batu nisan. Pada papan itu tertulis, “Tunggu aku di pintu universiti, Chot”. Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.

Dipetik dari Harapan Cerah

Tema

Accordion Content

Kasih sayang sesama makhluk ciptaan Tuhan

Buktinya, Alias amat menyayangi ibunya yang lumpuh. Alias meneruskan kehidupan setelah kematian ayahnya dengan berdikari. Dia mencari rezeki dengan memetik buah kelapa yang dilakukan oleh beruk kesayangannya, Chot. Dia tidak menghebahkan keadaan kemiskinan yang dihadapi kepada orang lain, termasuk keadaan ibunya yang lumpuh, sebaliknya berusaha mencari wang untuk membeli makanan dan ubat-ubatan. Alias juga amat menyayangi beruknya, Chot. Dua kali Chot hilang dan Alias berusaha mencari Chot. Dia tidak dapat melelapkan mata apabila mendapati Chot hilang. Bagi Alias, punca rezekinya akan hilang jika Choi tidak ditemui. Hal ini demikian kerana Chot berperanan meraetik buah kelapa di kebun Pak Din, kemudian Pak Din akan memberi upah berdasarkan jumlah buah kelapa yang dipetik. Chot dijaga dengan rapi termasuklah dimandikan, disuap nasi, dan diberikan pisang. Chot juga amat menyayangi Alias. Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot merasakan Cikgu Sunan mahu mengapa-apakan Alias menyebabkan Chot menerkam dan menggigit lengan guru itu. Alias juga menyayangi rakannya, Som. Alias tidak teragak-agak membantu Som yang lemah dalam rnata pelajaran Matematik, sebagai tanda kasih sayangnya terhadap sahabatnya itu.

Dipetik dari Pokok Hijau

Persoalan

Accordion Content

Kemiskinan masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman

Contohnya, Alias dan ibunya, Puan Leha tinggal di pondok buruk. Mereka bergantung belas ihsan jiran yang memberi makanan dan bergantung pada upah yang diterima hasil kerja memetik buah kelapa yang dilakukan oleh beruk peliharaannya.

Dipetik dari Pokok Hijau

Kanak-kanak yang menjalani kehidupan secara berdikari

Contohnya, Alias yang berusia 11 tahun meneruskan kehidupan setelah kematian ayahnya dengan berdikari. Dia mencari rezeki dengan memetik buah kelapa yang dilakukan oleh beruk kesayangannya, Chot. Dia tidak menghebahkan keadaan kemiskinan yang dihadapi kepada orang lain, termasuk keadaan ibunya yang lumpuh, sebaliknya berusaha mencari wang untuk membeli makanan dan ubat-ubatan.

Dipetik dari Pokok Hijau

Penduduk kampung yang mengamalkan semangat bermasyarakat

Contohnya, penduduk Kampung Dingin suka membantu jiran tetangga. Buktinya, Mak Su Kiah akan menyediakan makanan tengah hari untuk ibu Alias, Puan Leha. Pak Din pula selalu menjenguk ke rumah Alias untuk membantu keluarga itu dan seterusnya mengupah Alias memetik buah kelapa di kebunnya.

Dipetik dari Pokok Hijau

Kebijaksanaan manusia yang bertindak secara rasional

Contohnya, Alias amat menyayangi beruknya, Chot dan dia juga menyayangi Cikgu Sunan. Ketika Chot mengamuk dan menggigit lengan guru itu, Alias terpaksa mengambil tindakan segera dengan merodok perut Chot menggunakan lembing. Akhirnya, Cikgu Sunan selamat tetapi Chot pula mati.

Dipetik dari Pokok Hijau

Persoalan sikap manusia yang memiliki cara hidup berhemah tinggi

Contohnya, Alias melayan ibunya dengan baik. Dia tidak pernah membantah kata-kata ibunya. Dia bertanggungjawab menyediakan keperluan ibunya tanpa rasa terbeban. Dia juga akan berbaring di sisi ibunya sambil bertasbih dan ibunya pula akan berzikir.

Dipetik dari Pokok Hijau

Latar

Accordion Content

a) Pagi

– Ada perhimpunan sekolah.

– Cikgu Sunan mengajar Matematik.

– Alias dan Chot memetik kelapa.

b) Tengah hari

– Mak Su Kiah menghantar nasi bersama gulai kepada Alias dan ibunya serta bertanya khabar sebelum pulang ke rumah.

c) Petang

– Alias memandikan Chot di sungai di belakang rumah Som.

– Alias dan Som belajar membaca al-Quran daripada emak Alias.

– Som belajar membuat latihan Matematik daripada Alias.

Dipetik dari Cahaya Ceria

a) Kampung Dingin,

– Iaitu sebuah kampung tepi hutan yang sangat terpencil, tempat Alias dilahirkan.

b) Rumah Alias

– Som belajar mengaji al-Quran. Som juga belajar membuat latihan Matematik yang diberikan oleh Cikgu Sunan daripada Alias.

– Mak Su Kiah menghantar makanan kepada Alias dan ibunya.

c) Halaman perhimpunan

– Ketika Som tiba lewat kerana menunggu Alias, perhimpunan sekolah diadakan. Guru pengawas pada minggu itu ialah Cikgu Sunan. Cikgu Sunan menyentuh beberapa isu, iaitu kenakalan murid yang mencalarkan kereta guru dan sampah sarap yang dibuang merata-rata.

d) Bilik darjah lima

– Cikgu Sunan, iaitu guru kelas tahun lima mengajar Matematik.

– Cikgu Sunan menengking Alias kerana Alias seperti menyindirnya ketika datang lewat ke sekolah dengan alasan beruk.

e) Rumah Pak Din

– Alias meminta tolong Pak Din membeli ubat batuk ibunya di samping memberitahu Pak Din tentang bilangan biji kelapa yang dipetik serta bertanya kepada Som akan hal di sekolah.

– Alias mengambil dan menyalin nota rumah yang diberikan oleh Cikgu Sunan.

f) Sungai

– Alias membawa Chot mandi di sungai.

g) Kebun kelapa Pak Din

– Alias dan Chot memetik kelapa.

h) Kedai Ah Chai

– Alias membeli pisang untuk Chot.

Dipetik dari Cahaya Ceria

a) Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan hidup

– Alias tidak pernah merungut hidup dalam kemiskinan.

b) Masyarakat yang berdikari

 Alias berusaha menyara yuran persekolahannya dengan mengambil upah memetik buah kelapa.

c) Masyarakat ibu bapa yang mengimpikan kejayaan anak-anak

– Leha ingin melihat kejayaan Alias. Oleh hal demikian, Leha mengingatkan kepentingan pendidikan agama dan pendidikan sekular.

d) Masyarakat kampung yang hidup dalam kemiskinan

– Hidup Alias dan ibunya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Alias mencari wang untuk menampung keperluan harian dengan mengambil upah memetik kelapa di kebun Pak Din.

e) Masyarakat yang mementingkan pendidikan agama

– Ibu Alias, Leha mengajar anaknya membaca al-Quran dan menegur kesalahan yang dilakukan oleh Alias dalam bacaan solat.

f) Masyarakat yang mementingkan pendidikan sekular

– Ibu Alias menegur Alias yang tidak ke sekolah terlalu lama.

g) Masyarakat yang bertanggungjawab

 Alias mengambil alih tugas arwah bapanya yang meninggal lima tahun lalu kerana jatuh pokok kelapa. Dia membeli barang keperluan dapur seperti beras, gula, kopi dan ikan gelama.

h) Masyarakat yang jujur

– Alias memberitahu perihal sebenar kelewatan ke sekolah berpunca daripada mencari beruk kesayangannya yang hilang.

i) Masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan

– Alias membawa sahaja ke mana-mana buku latihan.

j) Masyarakat yang berprasangka

– Miah menuduh Chot merosakkan kebun pisang miliknya.

k) Masyarakat yang gigih berusaha mencapai kejayaan

– Som berusaha belajar Matematik daripada Alias.

l) Masyarakat yang baik hati

– Mak Su Kiah mengambil tahu kebajikan Alias dan Leha.

Dipetik dari Cahaya Ceria

Nilai

Accordion Content

a) Jujur

– Alias bercakap benar kepada Cikgu Sunan sebab dia datang lewat ke sekolah.

b) Taat kepada perintah agama

– Alias dan ibunya menunaikan kewajipan sebagai hamba-Nya dengan mendirikan solat dan membaca al-Quran.

c) Bertanggungjawab

– Alias mencari rezeki dengan mengambil upah memetik buah kelapa di kebun Pak Din. Wang yang diperoleh digunakan untuk membeli barang dapur seperti beras, kopi dan ikan.

d) Rajin

– Som belajar Matematik daripada Alias.

e) Baik hati

– Mak Su Kiah memberi makanan tengah hari, iaitu nasi dengan semangkuk gulai atau sayur kepada Alias dan Leha.

f) Keinsafan

– Cikgu Sunan insaf atas kesilapannya yang tidak memberi perhatian yang sepatutnya kepada Alias.

g) Berdikari

– Alias berdikari mencari rezeki dengan mengambil upah memetik buah kelapa.

h) Reda

– Leha reda dia lumpuh dan tidak dapat melakukan sebarang kerja.

i) Keikhlasan

– Som ikhlas berkawan dengan Alias tatkala rakan-rakan lain mengejek Alias. Som juga bersusah hati sekiranya Alias dimarahi oleh Cikgu Sunan kerana lewat ke sekolah.

Dipetik dari Puncak Sinar

Gaya Bahasa

Accordion Content
  • Seperti diasap kemenyan
  • Macam batang pinang subur
  • Macam singa lapar
  • Macam tongkang karam
  • Bagaikan biji saga yang kemerah-merahan
  • Nacam kapal terbang
  • Seperti terkena pukau
  • Seperti kambing takut akan air
  • Busuk macam bangkai
  • Macam hantu
  • Seperti dirasuk hantu

Dipetik dari Cahaya Ceria

– Apabila Cikgu Sunan sudah naik minyak, semua murid jadi takut. Som juga takut. Alias juga takut.

– Budin hairan. Miah hairan. Mak Su Kiah hairan. Pak Din juga hairan.

Dipetik dari Cahaya Ceria

– Ada sawah, ada rimbunan pokok buluh, ada rimbunan pokok pisang tetapi pokok kelapalah yang paling banyak.

– Chotnya berbulu cering. Chotnya bergigi putih tajam. Chotnya suka menyeringai. Chotnya ada gelang di leher tetapi semua itu tidak terkata olehnya.

Dipetik dari Cahaya Ceria

  • Daun-daun yang kebasahan itu tunduk malu kerana sedikit berat oleh embun yang menimpanya semalam.
  • Panas mulai pecah.
  • Suara itu membelah sepi kampung.
  • Terasa sakit pada dagu dan rahang menjalar ke telinga.
  • Angin malam di kampung itu bagaikan mati.
  • Benarlah malam sudah merangkak perlahan-lahan.

Dipetik dari Cahaya Ceria

  • Bismillah
  • Assalamualaikum
  • Alhamdulillah
  • Waalaikumussalam

Dipetik dari Cahaya Ceria

  • Naik minyak
  • Mandi kerbau
  • Naik angin

Dipetik dari Cahaya Ceria

Watak & Perwatakan

Accordion Content

  • Murid tahun lima yang kehilangan bapanya kerana terjatuh dari pokok kelapa.

  • Murid yang pintar dalam mata pelajaran Matematik – Alias menjadi rujukan Som untuk membuat latihan Matematik.

  • Anak yang taat akan nasihat ibunya – patuh akan suruhan dan teguran ibunya supaya menunaikan solat dan membaca al-Quran.

  • Anak yang bertanggungjawab – Alias mengambil alih peranan bapanya. Dia membeli barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi dan ikan gelama.

  • Berjiwa lembut – berkecil hati dengan sikap Som yang menegur bau telinga yang busuk.

  • Gigih – Alias membawa buku latihan ke mana-mana sahaja dia pergi walaupun ketika memetik kelapa.

  • Tidak berdendam – Alias melayan Cikgu Alias dengan ramah ketika kunjungan guru kelas itu ke rumahnya sekalipun Cikgu Alias menengkingnya sehingga dia jatuh terlentang di dalam kelas sehingga telinganya terkena bucu meja murid.

Dipetik dari Mesra Bakti

  • Beruk peninggalan arwah bapa Alias.

  • Sangat sayang akan tuannya, Alias.

  • Patuh akan arahan tuannya.

Dipetik dari Mesra Bakti

  • Tinggi dan berbadan sederhana besar.

  • Guru kelas tahun lima.

  • Guru mata pelajaran Matematik.

  • Benci akan Alias.

  • Menyesal atas perlakuannya yang tidak memberi layanan sebaiknya kepada Alias.

  • Garang – Cikgu Sunan cepat melenting apabila murid-murid tahun lima tidak dapat menjawab soalan Matematik dan apabila kerja rumah pelajaran Matematik tidak siap.

Dipetik dari Mesra Bakti

  • Ibu Alias.

  • Ibu yang menitikberatkan pendidikan agama – menegur Alias apabila terdapat kesalahan membaca doa qunut dan kesalahan dalam solat-solat lain. Malahan, selalu mengingatkan Alias tentang kewajipan menunaikan solat.

  • Ibu yang menitikberatkan pendidikan sekular – mengingatkan Alias tentang kepentingan ilmu pengetahuan apabila Alias ponteng sekolah terlalu lama.

Dipetik dari Mesra Bakti

  • Murid tahun lima.

  • Sahabat baik Alias.

  • Takut akan Cikgu Sunan.

  • Lemah dalam mata pelajaran Matematik.

  • Suka bergurau.

  • Prihatin akan nasib Alias.

  • Baik hati.

Dipetik dari Mesra Bakti

  • Berbadan sedikit gempal dan berambut panjang.

  • Baik hati – memberi makanan tengah hari untuk Alias dan ibunya.

Dipetik dari Mesra Bakti

  • Bapa Som

  • Kematian isteri

  • Baik Hati – banyak membantu ketika Alias dalam kesusahan.

Dipetik dari Mesra Bakti

Pengajaran

Accordion Content

a) Kita hendaklah membantu antara satu sama lain.

– Contohnya, Mak Su Kiah membantu Alias dan ibunya, iaitu menghantar nasi dengan lauk atau sayur pada waktu tengah hari.

b) Kita hendaklah mendengar nasihat ibu bapa.

– Contohnya, Alias mendengar nasihat ibunya supaya menunaikan solat.

c) Kita hendaklah insaf apabila menyedari kesilapan yang telah dilakukan.

– Contohnya, Cikgu Sunan menyesali segala tingkah lakunya terhadap Alias.

d) Kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah takdir hidup.

– Contohnya, Alias belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu pengetahuan penting untuk mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik.

e) Kita tidak seharusnya berdendam.

– Contohnya, Alias tidak berdendam dengan Cikgu Sunan. Alias melayan gurunya itu dengan ramah walaupun Cikgu Sunan pernah mengherdik dan menengkingnya.

f) Kita hendaklah menerima takdir Tuhan dengan hati yang terbuka.

– Contohnya, ibu Alias reda apabila lumpuh.

g) Kita hendaklah jujur dalam kehidupan.

– Contohnya, Alias jujur memberitahu Cikgu Sunan sebab kelewatannya ke sekolah berpunca daripada beruk.

Dipetik dari Puncak Sinar

Binaan Plot

Accordion Content

Beruk Alias, Chot hilang. Alias menangis. Dia tidak pergi ke sekolah. Usaha ibunya dan Som memujuknya supaya mencari Chot selepas waktu persekolahan gagal.

Dipetik dari Puncak Sinar

Alias mengambil keputusan pergi ke sekolah selepas gagal mencari Chot. Di sekolah, Alias telah diherdik dan ditengking oleh Cikgu Sunan.

Dipetik dari Puncak Sinar

Cikgu Sunan bertempik sehingga Alias terdorong ke belakang dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena meja murid. Rentetan peristiwa itu, Alias tidak pergi ke sekolah lebih daripada seminggu kerana telinganya bernanah. Alias malu dan takut diejek oleh kawan-kawannya. Alias tidak menceritakan hal sebenar yang berlaku kepada ibunya di sekolah.

Dipetik dari Puncak Sinar

Cikgu Sunan pergi ke rumah Alias. Kedatangannya ke situ tidak disenangi oleh beruk Chot. Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot melompat dan melonjat kuat sehingga rantai di lehernya terputus. Chot menerkam Cikgu Sunan dan menokak lengan guru itu. Chot tidak mahu melepaskan gigitannya walaupun Cikgu Sunan memukul-mukulnya. Keadaan menjadi kelam-kabut. Alias tidak tahu tindakan yang perlu diambil kerana Chot ialah beruk kesayangannya.

Dipetik dari Puncak Sinar

Alias mengambil lembing berkarat yang berada di bawah rumah lalu merodok mata lembing itu ke perut Chot. Chot mati di tangan Alias. Cikgu Sunan serba salah dengan Alias. Cikgu Sunan berjanji akan membiayai pendidikan Alias sampai ke universiti.

Dipetik dari Puncak Sinar

Teknik Plot

Accordion Content

Perihal keadaan rumah Alias.

Rumah itu sangat buruk dan usang. Atap pun dibuat daripada daun rumbia yang sudah reput  bocor di sana sini kalau hujan lebat.

Dipetik dari Puncak Sinar

Dialog antara Alias dengan Cikgu Sunan

“Haa, kalau dah putus rantai, apa kamu buat? Kamu bela berukkah?”

“Dia hilang. Saya carinya, cikgu. Sebab tu saya lambat sampai.”

“Kalau Chot tidak ada, bagaimana mahu mengambil upah memetik buah kelapa?” fikirnya. Siapakah yang akan membiayainya ke sekolah.

Dipetik dari Puncak Sinar

Perihal Som teringat Cikgu Sunan bersungut-sungut apabila pintu depan keretanya calar.

Tiba-tiba som terasa ditolak oleh Hasnah dari belakang. Barulah Som tersedar yang dia sedang mengelamun kisah kelmarin. Som tidak mendengar apa-apa yang diucapkan oleh Cikgu Sunan tadi.

Dipetik dari Puncak Sinar

Peristiwa Budin tergesa-gesa ke rumah Alias untuk memberitahu bahawa beruk yang merosakkan kebun pisang Miah, iaitu Chot mati ditembak.

Peristiwa lengan Cikgu Sunan ditokak oleh Chot.

Dipetik dari Puncak Sinar

Contoh Soalan & Skema Jawapan